Rabu, 2 November 2016 | 11:22pm

Gangguan bekalan air di Sepang dan Hulu Langat

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Sepang dan Hulu Langat sedang mengalami gangguan bekalan air sementara pada jam 8 malam tadi ekoran sesalur paip bocor di Jenderam Hilir.

Perkara itu dimaklumkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam satu kenyataan, sebentar tadi yang menegaskan kerja-kerja pembaikan paip bocor sedang giat dijalankan.

"Di Sepang, kawasan yang terjejas membabitkan Kampung Sungai Buah, Kampung Jenderam Hilir dan Kampung Jenderam Hulu manakala di Hulu Langat adalah di Bandar Bukit Mahkota, Rinching, Beranang serta Bandar Baru Bangi.

"Bekalan air akan pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja pembaikan siap," katanya.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh muat turun aplikasi mySYABAS melalui Google Playstore dan AppStore atau melayari www.syabas.com.my, Facebook SYABAS atau Twitter SYABAS (@puspel).

Berita Harian X