Isnin, 31 Oktober 2016 | 3:23pm

59 kilang di Nilai wajib laksanakan GSR

PENGARAH JAS negeri, Norhazni Mat Sari. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PENGARAH JAS negeri, Norhazni Mat Sari. - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengarahkan 59 kilang di kawasan perindustrian Nilai melaksanakan Peraturan Pematuhan Kendiri (GSR), berkuat kuasa hari ini.

Pengarah JAS negeri, Norhazni Mat Sari, berkata GSR sepatutnya dilaksanakan Disember ini tetapi masalah pencemaran Sungai Semenyih di Selangor yang memaksa Loji Rawatan Air (LRA) di sungai itu ditutup pada 23 Oktober lalu, menyebabkan pelaksanaannya dipercepatkan.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 14 kilang iaitu 12 yang melepaskan efluen ke Sungai Buah dan dua ke Sungai Batang Benar, perlu membuat pemantauan dan merekodkan pelepasan sisa buangan cecair ke dalam sungai setiap hari.

"Setakat ini, 14 kilang berkenaan mematuhi peraturan pelepasan efluen mengikut syarat Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Bersama Wakil Industri Kawasan Perindustrian Nilai di pejabat JAS di sini, hari ini.

Norhazni berkata, notis berhubung pelaksanaan GSR akan dikeluarkan kepada semua kilang berkenaan hari ini.

Katanya, JAS akan memastikan semua kilang mematuhi pelaksanaan GSR dengan membuat lawatan dan memeriksa dokumen berkaitan.

GSR mewajibkan kilang mempunyai dasar yang mencerminkan komitmen untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar serta perlu dihebahkan kepada kakitangan dan semua pihak berkaitan operasi kilang.

Selain itu, kilang perlu menubuhkan jawatankuasa dan melantik seorang pegawai yang dipertanggungjawabkan memastikan operasi, termasuk pelepasan efluen mematuhi peraturan ditetapkan.

Berita Harian X