Isnin, 24 Oktober 2016 | 2:49pm

Pelbagai agensi kerajaan usaha kesan pencemaran di Nilai

SEBAHAGIAN penduduk mendapatkan bekalan air di Pusat Operasi Stor Sungai Manggis, Banting, berikutan bekalan air di LRA Sungai Semenyih terpaksa ditutup. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
SEBAHAGIAN penduduk mendapatkan bekalan air di Pusat Operasi Stor Sungai Manggis, Banting, berikutan bekalan air di LRA Sungai Semenyih terpaksa ditutup. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

NILAI: Pasukan pemantauan bersepadu diterajui Jabatan Alam Sekitar (JAS), hari ini mengadakan operasi mencari punca pencemaran yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, terpaksa ditutup, semalam.

Operasi itu turut disertai Majlis Perbandaran Nilai, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta Jabatan Perhutanan.

Penolong Pengarah Kanan JAS Negeri Sembilan, Anuar Ishak, berkata operasi ditumpukan di Sungai Buah di sini, yang mengalir ke Sungai Semenyih di Selangor.

Katanya, operasi dibahagikan kepada tiga kumpulan termasuk di punca Sungai Buah, berhampiran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.

"Kami mengambil contoh air di beberapa lokasi Sungai Buah untuk diuji. Setakat ini, belum dapat dipastikan punca pencemaran itu," katanya di sini, hari ini.

Semalam, LRA Sungai Semenyih, terpaksa ditutup kali ketiga dalam tempoh sebulan berikutan pencemaran bau air sungai itu.

Masalah itu dikatakan berpunca dari kawasan Nilai dengan hulu jalan air di sini, dikesan berbau luar biasa yang kuat mengalir ke Sungai Buah yang menghala ke muka sauk Sungai Semenyih.

Berita Harian X