Rabu, 19 Oktober 2016 | 12:34pm

AADK buru penagih dari rumah ke rumah

MELAKA: Taktik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menggempur dari rumah ke rumah bagi membanteras kegiatan penagihan dadah membawa kepada penahanan sembilan penagih tegar dalam operasi khas di sekitar daerah Melaka Tengah di sini, malam semalam hingga pagi tadi.

Ops Aduan bermula kira-kira jam 8 malam hingga 3 pagi membabitkan sepasukan 14 anggota AADK negeri itu memberi tumpuan lokasi di Sungai Udang, Solok Rahim Belia dan pusat bandar raya ini.

Pengarah AADK negeri, Mohamad Yusof Kameh, berkata semua penagih berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan ketika lena tidur di rumah mereka.

Katanya, siasatan awal mendapati rata-rata penagih tegar yang ditahan menetap bersama keluarga masing-masing dan tidak menyangka rumah mereka diketuk tetamu tidak diundang.

"Akibat tidak menyedari mereka digempur, semua penagih menyerah diri bagi membolehkan ujian air kencing dilakukan terhadap mereka tanpa kejadian buruk.

"Hasil ujian, semua mereka didapati positif dadah jenis Opiat dengan dua daripadanya positif syabu," katanya.

Mohamad Yusof berkata, siasatan turut mendapati ibu bapa dan isteri kepada penagih yang ditahan mengetahui pembabitan anak atau suami mereka dalam pengambilan dadah, bagaimanapun membiarkannya, malah menjadi pelindung supaya tidak ditahan.

Berita Harian X