Rabu, 5 Oktober 2016 | 10:23pm

Kolam takungan di Selangor dijangka capai paras optimum

SHAH ALAM: Bekalan air di kolam takungan perkhidmatan di daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat dijangka mencapai paras optimum secara berperingkat mulai hari ini, demikian menurut Kumpulan Air Selangor.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, Amin Lin Abdullah, berkata Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kembali beroperasi pada 11 malam tadi dan proses penyaluran bekalan air ke kolam takungan giat dijalankan.

"Dalam usaha untuk memastikan bekalan air diagihkan dengan lebih cekap semasa pemulihan ini serta mengurangkan tempoh gangguan bekalan air kepada pengguna, bekalan air akan diagihkan secara berjadual ke kawasan yang terlibat.

"Air dibekalkan ke zon, yang dijadualkan mendapat bekalan air, pada pukul 4 petang hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bekalan air bantuan akan dihantar dengan lori tangki ke kawasan yang mengalami gangguan bekalan air akibat paras air rendah di kolam takungan perkhidmatan.

LRA Semenyih yang ditutup tiga hari baru-baru ini berikutan pencemaran di Sungai Semenyih terpaksa ditutup semula pagi semalam berikutan masalah sama.

Berikutan langkah itu, beberapa kawasan di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling mengalami gangguan bekalan air, seperti mana sewaktu penutupan pada 22 hingga 24 Sept lalu. - BERNAMA

Berita Harian X