Ahad, 2 Oktober 2016 | 7:23pm

Beberapa kawasan Petaling, Hulu Langat masih alami gangguan air

DARI kiri; M Dhivya, 18, bersama M Tharmendran, 22, dan R Saraswathy, 46, mencuci pinggan menggunakan air yang terhad pada tinjauan penduduk di Bandar Sunway Semenyih yang mengalami masalah gangguan bekalan air. - Foto Nurul Shafina Jemenon
DARI kiri; M Dhivya, 18, bersama M Tharmendran, 22, dan R Saraswathy, 46, mencuci pinggan menggunakan air yang terhad pada tinjauan penduduk di Bandar Sunway Semenyih yang mengalami masalah gangguan bekalan air. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Hanya beberapa kawasan di daerah Petaling dan Hulu Langat masih mengalami gangguan bekalan air susulan pencemaran Sungai Lalang dan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sejak Khamis minggu lalu.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata bantuan bekalan air akan terus dihantar dengan lori tangki ke dua daerah yang masih mengalami masalah berkenaan sehingga kolam takungan air mencapai paras optimum.

Katanya, bekalan air di daerah Kuala Langat dan Sepang pula sudah pulih sepenuhnya sejak semalam.

"Bagi daerah Petaling, Bandar Puteri Puchong masih mempunyai masalah gangguan bekalan air.

"Sementara di Hulu Langat, kawasan yang terbabit pula ialah Bandar Sunway Semenyih, Bandar Tasik Kesuma, Bandar Teknologi Kajang, Bluewater Estate, Desa Serdang, Gita Bayu, Mines Resort, Taman Bukit Semenyih, Taman Bangi Jaya, Taman Dusun Jaya dan Pusat Tahanan Imigresen Semenyih.

"Namun, pengguna dinasihati supaya mengguna air dengan berhemat demi mempercepatkan kolam takungan air di kawasan terbabit, mencapai dan mengekalkan paras optimum," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Amin Lin berkata, status terkini mengenai pemulihan bekalan air di beberapa kawasan yang terbabit sudah dikemaskinikan di aplikasi telefon bimbit pintar 'mySYABAS' dan www.syabas.com.my.

BH sebelum ini melaporkan, lebih 300,000 pengguna air di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, terus terjejas apabila LRA Sungai Semenyih ditutup semula buat kali ketiga yang berpunca daripada pencemaran Sungai Lalang di kawasan perindustrian Hi-Tech, Semenyih.

Berikutan kejadian itu, Air Selangor bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan siasatan dan pemantauan terhadap pencemaran Sungai Lalang, Semenyih, 24 jam sehari supaya pihak bertanggungjawab yang menyebabkan punca masalah itu berlaku dibawa ke muka pengadilan.

Ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan berkenan, Amin Lin berkata hasil ujian sampel air di sungai berkenaan masih belum diketahui.

"Kita masih tidak dapat kenal pasti punca pencemaran. Siasatan masih diteruskan sehingga punca pencemaran dikenal pasti," katanya.

Berita Harian X