Isnin, 26 September 2016 | 2:04pm

Maut kereta dinaiki dirempuh 4WD

KUALA LANGAT: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Wira dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux di Kilometer 31.5 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Proton Wira dari arah Banting membelok ke kanan untuk memasuki Taman Seri Telok Datok sebelum dirempuh sebuah 4WD dari arah Klang ke Banting.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Zailan Tasir, berkata pemandu 4WD yang berada di jalan lurus tidak sempat mengelak lalu merempuh Proton Wira yang membelok secara tiba-tiba.

"Akibat rempuhan itu, kedua-kedua kenderaan melanggar tembok longkang simpang masuk ke Taman Seri Telok Datok dan terbabas lalu memasuki longkang kiri jalan.

"Penumpang Proton Wira maut di tempat kejadian manakala pemandunya cedera di kepala," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X