Jumaat, 23 September 2016 | 3:56pm

Gangguan bekalan air di 4 daerah Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sejak semalam, berikutan pencemaran air mentah di loji Rawatan Air Sungai Semenyih.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Pengurusan Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata, antara kawasan terjejas di Hulu Langat adalah Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih dan Rinching.

"Bagi daerah Kuala Langat, kawasan terbabit ialah Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu dan Telok Panglima Garang.

"Daerah Petaling membabitkan USJ 1 hingga 27, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang manakala di Sepang ialah Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong serta Sungai Merab," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amin Lin berkata, bekalan dijangka pulih secara berperingkat mulai pagi ini.

"Paras air di semua kawasan terbabit berada dalam pantauan rapi dan SYABAS sudah menghantar bekalan air ke kawasan perumahan sehingga paras air di semua kolam takungan air stabil," katanya.

Katanya, pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan gangguan air dengan melayari laman web www.syabas.com.my.

Berita Harian X