Khamis, 11 Ogos 2016 | 5:07pm

Warga tua sanggup tunggang 20km untuk lepas gian

MELAKA: Seorang warga tua, antara 31 pengedar dan penagih dadah yang ditahan dalam operasi bersepadu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri berhampiran bekas tapak pelupusan sampah di Sungai Krubong, di sini, hari ini.

Dia ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan AADK di bawah jambatan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), kira-kira jam 8.30 pagi.

Lelaki berusia 61 tahun berasal dari Kelemak, Alor Gajah itu dikatakan sanggup menunggang motosikal sejauh hampir 20 kilometer untuk melepaskan gian menghisap dadah bersama rakannya di bawah jambatan berkenaan.

Pengarah AADK negeri, Mohamad Yusof Kameh, berkata warga tua yang menagih dadah sejak 41 tahun lalu ditahan bersama 30 lelaki lain, termasuk tiga daripadanya memiliki dadah disyaki jenis heroin.

"Dalam operasi sempena Program My Beautiful Malaysia, semua suspek berusia 19 hingga 61 tahun ditahan di 'port' baharu iaitu di bawah jambatan Lebuh SPA.

"Ketika serbuan dijalankan ada yang asyik menjalankan urusan jual beli dadah dan ada yang cuba melarikan diri bagi mengelak ditahan. Tiga pengedar dadah yang ditahan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi itu.

Operasi disertai masing-masing seramai 15 anggota dari BSJN IPD Melaka Tengah dan AADK negeri itu bermula dari jam 6 hingga 11 pagi.

Yang turut hadir, Timbalan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Sazali Muhd Din dan Ketua BSJN IPD Melaka Tengah, Asisten Superintendan Yap Kok Seng.

Mohamad Yusof berkata, semua yang ditahan kemudian dibawa ke IPD untuk menjalani ujian air kencing dan siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Seksyen 12(2), Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X