X
Rabu, 15 Jun 2016 | 6:11pm

JE: Melaka ambil langkah berjaga-jaga

KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron ketika sidang media mesyuarat Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron ketika sidang media mesyuarat Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Kerajaan Melaka mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan virus Japanese Encephalitis (JE) ke negeri ini.

Ia susulan jangkitan terbaharu ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Seremban, Negeri Sembilan pagi tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pihaknya sudah meminta jabatan berkaitan untuk melakukan beberapa perkara utama bagi mengekang virus yang boleh membawa maut itu menular ke negeri ini.

Pada masa sama, katanya, Pejabat Tanah dan Galian negeri juga diarah mempercepatkan proses pembinaan pusat penyembelihan khinzir di Paya Mengkuang, Alor Gajah di sini, bagi memastikan segala bentuk penjagaan dan pemprosesan haiwan itu dapat dijalankan dengan sempurna.

"Walaupun tiada kes JE di Melaka, namun kita mengambil langkah awal untuk mengekang virus itu daripada merebak ke negeri ini.

"Semua jabatan yang berkaitan (Jabatan Kesihatan dan Jabatan Veterinar negeri) diminta lebih peka dengan keadaan itu dan melaporkan kepada kerajaan negeri situasi semasa virus berkenaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Kanak-kanak terbabit yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, itu disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Abdul Rahim Abdullah, dilaporkan berkata, kanak-kanak berasal dari Kuala Pilah itu pada mulanya dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah pada 18 Mei lalu, sebelum dipindahkan ke HTJ dua hari kemudian berikutan keadaannya yang semakin kritikal.

Berita Harian X