Ahad, 22 Mei 2016 | 4:56pm

Lelaki tempang ditahan ketika leka bungkus dadah

AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merampas bungkusan dadah disyaki heroin di tempat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ketika sedang leka membungkus dadah pada Program My Beautiful Malaysia (NBOS) peringkat AADK Daerah Melaka Tengah di sebuah kebun di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang. - Foto Rasul Azli Samad
AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merampas bungkusan dadah disyaki heroin di tempat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ketika sedang leka membungkus dadah pada Program My Beautiful Malaysia (NBOS) peringkat AADK Daerah Melaka Tengah di sebuah kebun di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Seorang lelaki yang tempang kaki kanannya ditahan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka Tengah ketika leka membungkus dadah disyaki heroin dan syabu di sebuah kebun di Kampung Paya Rumput Jaya, pagi tadi.

Ketika ditahan kira-kira jam 9 pagi, lelaki berusia 36 tahun itu dikatakan membungkus dadah dalam bentuk paket, dipercayai untuk diedar kepada penagih sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai AADK Melaka Tengah, Lailiana Maon, berkata suspek yang berasal dari Sungai Udang di sini, sibuk menjalankan kegiatan itu bersama dua penagih lain dalam kawasan kebun berkenaan.

"Suspek ditahan bersama dua paket disyaki mengandungi dadah tetapi dua rakannya sempat melarikan diri ketika diserbu.

"Anggota AADK turut menemui banyak plastik kosong dalam bakul motosikalnya, dipercayai untuk membungkus dadah," katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan selepas serbuan, hari ini.

Terdahulu, beliau menyertai Program MyBeautiful Malaysia peringkat daerah bersama kira-kira 80 wakil pelbagai agensi merangkumi AADK, Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah serta penduduk kampung Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Rumput Jaya.

Lailiana berkata, siasatan awal mendapati, suspek baru dibebaskan dari sebuah pusat serenti kira-kira dua bulan lalu manakala kebun berkenaan dikatakan menjadi sarang penagih dadah sejak enam bulan lalu.

Katanya, dua buah motosikal turut disita dalam serbuan itu manakala suspek dibawa ke Bahagian Narkotik IPD Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X