Rabu, 18 Mei 2016 | 8:49pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Bilangan penagih dadah OKP di Melaka meningkat

AYER KEROH: Jumlah penagih dadah yang diletakkan di bawah kategori Orang Kena Pengawasan (OKP) di Melaka meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 1,594 pada tahun lalu, berbanding 1,589 pada tahun sebelumnya.

Jumlah peningkatan sebanyak lima penagih dadah itu direkodkan sepanjang tahun.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Mohd Yusof Kameh, berkata dari Januari hingga semalam pula, seramai 1,647 OKP direkodkan agensi itu.

Beliau berkata, Daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah OKP tertinggi iaitu sebanyak 894 orang, diikuti Alor Gajah (369) dan Jasin (331).

"Mengikut statistik, terdapat tujuh kawasan di negeri ini yang dikategorikan sebagai kawasan utama pemantauan penagih dadah antaranya di Krubong yang dikesan menjadi lokasi aktiviti kegiatan tidak bermoral itu.

"Kawasan Parlimen Tangga Batu mencatatkan bilangan pemantauan tertinggi di daerah Melaka Tengah, berbanding daerah lain," katanya ketika ditemui selepas Seminar Keluarga Bebas Dadah di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Seramai 150 orang terdiri daripada keluarga berisiko dan di kawasan berisiko dadah dipilih AADK dalam seminar yang berlangsung sehari itu. Turut hadir, Penolong Pengarah AADK negeri, Hashim Abd Jalil.

Mohd Yusof berkata, Daerah Jasin mencatatkan peningkatan seramai 331 OKP pada tahun lalu, berbanding 219 pada tahun sebelumnya.

"Ia adalah disebabkan tindakan penguatkuasaan yang kerap dilakukan AADK di daerah berkenaan.

"Kita (AADK) akan sentiasa menjalankan pemantauan dan memusnahkan sarang penagihan dadah atau tempat melepaskan gian penagih yang dikesan di negeri ini," katanya.

Berita Harian X