Selasa, 17 Mei 2016 | 9:35pm

Bilangan penghidap diabetes meningkat

KETUA Penolong Pengarah Kanan Unit Kesihatan Primer Jabatan Kesihatan negeri, Dr Suhaila Osman. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KETUA Penolong Pengarah Kanan Unit Kesihatan Primer Jabatan Kesihatan negeri, Dr Suhaila Osman. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Bilangan penghidap diabetes di negeri ini meningkat dua kali ganda pada tahun lalu iaitu 20,980 orang, berbanding 7,839 pada tahun sebelumnya.

Peningkatan 167 peratus jumlah pesakit yang direkodkan itu adalah berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Pendaftaran Diabetes Kebangsaan (NDR).

Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Kesihatan Primer Jabatan Kesihatan negeri, Dr Suhaila Osman, berkata perangkaan itu menunjukkan ancaman diabetes terus meningkat, sekali gus memerlukan perhatian serius.

"Sepanjang tempoh dari tahun 2009 hingga tahun lalu, seramai 80,030 penghidap diabetes direkodkan di Melaka. Bagaimanapun, negeri ini berada di tangga ke-10 dalam statistik penghidap diabetes seluruh negara.

"Kebanyakan mereka adalah golongan yang menghidap masalah kegemukan atau obesiti berpunca daripada amalan pemakanan tidak sihat, selain merokok dan kurang melakukan aktiviti fizikal," katanya selepas merasmikan program Kesedaran Komuniti Diabetes (DeeCee) di Klinik Kesihatan Peringgit, di sini, hari ini.

Program yang dianjurkan itu bertujuan memperkasa dan melatih pesakit diabetes untuk menjadi pembimbing kepada pesakit lain menerusi bengkel perkongsian membabitkan lebih 60 pesakit di negeri ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perubatan AstraZeneca Malaysia, Dr Viraj Rajadhyaksha dan Pakar Perubatan Keluarga Poliklinik Komuniti Peringgit, Dr Nor Hazlin Talib.

Dr Suhaili turut menyeru individu yang berisiko tinggi seperti berat badan berlebihan atau mempunyai anggota keluarga penghidap diabetes supaya menjalani saringan kesihatan secara berkala bagi pengesanan dan rawatan awal.

Berita Harian X