Jumaat, 15 April 2016 | 3:51pm

12 bayi 'Bandaraya Melaka Bersejarah' dirai

KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron (duduk tengah) dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah bergambar bersama bayi dan kakitangan Hospital Melaka pada majlis meraikan bayi yang dilahiran hari ini sempena Sambutan Ulang Tahun Melaka Bandaraya Bersejarah ke-13 di Hospital Melaka, hari ini.

MELAKA: Negeri ini memerlukan purata 100 kelahiran sehari bagi mencapai sasaran sejuta penduduk menjelang tahun 2025.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata berbanding purata 50 kelahiran sehari ketika ini, sasaran terbaru itu dilihat positif untuk dicapai.

Katanya, Melaka direkodkan mempunyai 872,900 penduduk setakat tahun lalu.

"Peningkatan jumlah kelahiran akan memberi banyak manfaat dan kekuatan terhadap sumber ekonomi.

"Dengan pertambahan kelahiran bagi membolehkan kita memiliki antara sejuta hingga 1.1 juta penduduk pada tahun 2025, potensi masa depan negeri ini lebih cerah dan maju setanding bandar raya lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis meraikan bayi yang dilahirkan hari ini sempena Sambutan Ulang Tahun Melaka Bandaraya Bersejarah ke-13 di Hospital Melaka di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Fadilah Abdullah dan Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Zainal Hussin.

Terdahulu, Idris dan isteri meluangkan masa melawat 12 bayi 'Bandaraya Melaka Bersejarah' yang ditempatkan di Wad Bersalin, Hospital Melaka.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, tujuh bayi lelaki dan lima bayi perempuan dilahirkan di hospital berkenaan.

Berita Harian X