Jumaat, 8 April 2016 | 5:18pm

Kaki pelajar tersepit besi longkang

TUN Hairudin (baju kelabu) membantu menenangkan Nor Sabrina selepas kakinya tersepit besi longkang di SMK Taman Intan Perdana.
TUN Hairudin (baju kelabu) membantu menenangkan Nor Sabrina selepas kakinya tersepit besi longkang di SMK Taman Intan Perdana.

PORT DICKSON: Keterujaan menyaksikan perasmian program di sekolah menyebabkan seorang pelajar menanggung kesakitan hampir 30 minit apabila kakinya tersangkut pada besi penutup longkang, semalam.

Nor Sabrina Abdullah, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Intan Perdana di sini, terjatuh apabila besi penutup longkang patah dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu.

Ketika itu, pelajar berkenaan dikatakan ingin melihat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar, yang hadir merasmikan program di sekolah terbabit.

Tun Hairudin yang menyedari kejadian itu turut membantu menenangkan mangsa sementara menanti kehadiran bomba.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Pegawai Bomba Kanan II Jailani Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.54 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Kaki mangsa dikeluarkan dalam tempoh beberapa minit dan dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius, hanya calar di betis dan pergelangan kaki," katanya di sini.

Berita Harian X