Jumaat, 1 April 2016 | 12:16pm

Gangguan bekalan air sementara di Hulu Langat

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Hulu Langat sedang mengalami gangguan bekalan air sementara, walaupun loji rawatan air menyediakan perkhidmatan di kawasan itu beroperasi sepenuhnya.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam satu kenyataan berkata, permintaan dan kegunaan air tinggi ketika cuaca panas menyebabkan air simpanan di kolam takungan air Cheras dan Bangi mencatat penurunan di bawah paras biasa.

Paras kolam air sedang diawasi dengan rapi serta bekalan kepada pengguna akan pulih secara berperingkat apabila paras kolam takungan air mencapai tahap stabil.

Kawasan dijangka mengalami gangguan bekalan air di Hulu Langat adalah Taman Juara Jaya, Taman Bukit Belimbing, Taman Sungai Besi Indah, Taman Harmoni Indah, Taman Puncak Utama dan Taman Putra Budiman, Taman Balakong Jaya, Taman Sri Timah, dan Taman Taming Jaya.

Selain itu, Kawasan Industri Balakong, Kawasan Industri Selesa Jaya, Industri Balakong, Taman Taming Permai, Kawasan Industri Lifong, Juta Mines Kondominium, Jade Hill, Kampung Baru Balakong, Bangi Golf Resort, Kajang Utama, UKM, Alam Sari, Taman Tropika, Taman Universiti, GMI, Taman Tropika 2 dan Taman Vista Emas.

Bagi mengurangkan kesulitan pengguna, bekalan air kecemasan sudah dihantar menggunakan lori tangki ke kawasan yang mengalami gangguan bekalan air sementara.

Pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air dengan berhemah sepanjang musim cuaca panas ini.

SYABAS akan terus memantau situasi itu dan pengguna akan dimaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa melalui media massa, aplikasi `mySYABAS' dan laman web www.syabas.com.my.

Pengguna boleh juga menghubungi SYABAS melalui talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS 39222 untuk bantuan bekalan air.

Berita Harian X