Khamis, 18 Februari 2016 | 11:44pm

Hulu Selangor, Petaling alami gangguan air

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Hulu Selangor dan Petaling mengalami gangguan bekalan air mulai Selasa depan berikutan kerja memasang serta mengalih paip air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

SYABAS, dalam satu kenyataan media, menyatakan gangguan bekalan air bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam di kawasan Hulu Selangor membabitkan Kampung Permata Kundang; Desa Kundang dan Kundang Jaya.

Selain itu, Tasik Biru; Industri Kundang; Bandar Baru Kundang; Sungai Serai dan Kampung Baru Kundang .

Kawasan Petaling pula mengalami gangguan bekalan air dari jam 9 malam 27 Februari hingga 7 pagi 28 Februari meliputi Seksyen 6 hingga Seksyen 10; sebahagian Seksyen 12; sebahagian Jalan Gasing dan Seksyen 5 dan Seksyen 52, Petaling Jaya.

Turut terjejas Taman Serdang dan Kawasan Perindustrian Seri Kembangan, Petaling.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh memuat turun aplikasi mySYABAS (melalui Google Playstore dan Apple AppStore) atau melayari www.syabas.com.my; Facebook SYABAS 'puspel' atau twitter 'puspel syabas'.

Menurut kenyataan itu lagi, beberapa kawasan di Kuala Langat dan Sepang turut mengalami gangguan bekalan berikutan operasi Loji Rawatan Air Bukit Tampoi, yang membekalkan air terawat di kawasan itu, terpaksa ditutup susulan pencemaran Sungai Langat.

Keadaan Sungai Langat sedang diawasi dengan rapi dan loji rawatan air berkenaan akan beroperasi semula sebaik saja situasi pencemaran air di sungai itu reda.

Bagi mengurangkan kesulitan pengguna, bekalan air dihantar melalui lori tangki ke kawasan terbabit.

Antara kawasan Kuala Langat terjejas adalah Kampung Olak Lempit, Selangor Dredging, Taman Changgang Jaya, Taman Arked, Taman Seri Dagang, RTB Bukit Changang, Bandar Mahkota dan Taman Murnimas.

Selain itu, Kompleks Perabot Olak Lempit, Kampung Bukit Changgang, Kampung Labohan Dagang, Taman Topaz, Taman Ambar, Taman Langat Murni, Bandar Ehsan Seri, Taman Langat Utama, D'Menara dan Pusat Serenti.

Kawasan Sepang mengalami gangguan bekalan air pula adalah Kampung Orang Asli Bangkong.

Berita Harian X