Jumaat, 29 Januari 2016 | 12:28am

Perkampungan dadah di Sungai Besar diserbu 

LOKASI penagihan seolah-olah sebuah perkampungan haram dengan terbinanya beberapa pondok ketika dijumpai didalam operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). di Jalan 1 Bagan Sungai Besar. - Foto Mohd Shukor Amin
LOKASI penagihan seolah-olah sebuah perkampungan haram dengan terbinanya beberapa pondok ketika dijumpai didalam operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). di Jalan 1 Bagan Sungai Besar. - Foto Mohd Shukor Amin

SABAK BERNAM: Sebuah perkampungan dadah dalam hutan bakau di sini, diserbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, dalam satu operasi bersepadu bermula jam 8 pagi Khamis.   

Dalam operasi di hutan bakau Bagan Sungai Besar yang turut disertai pegawai daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan berakhir kira-kira jam 5 petang, seramai 41 penagih termasuk 14 daripada mereka yang juga Orang Kena Pengawasan (OKP) ditahan. 

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, berkata operasi itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sabak Bernam, Asistan Superintendan, Ramly Raaf bersama 20 anggota daripada IPD Sabak Bernam dan 30 pegawai dan anggota AADK.   

"Semua suspek yang terbabit dibawa ke IPD Sabak Bernam untuk saringan Ujian Air Kencing," katanya.  

Sementara itu, akibat ketagihan dadah, penagih dari beberapa kawasan sekitar daerah ini sanggup meredah kawasan paya untuk melepaskan ketagihan.    

Malah, ada antara mereka yang ditahan sanggup membawa ahli keluarga ke kawasan itu.   

Lokasi seperti sebuah perkampungan itu yang dilengkapi dengan beberapa pondok serta kemudahan seperti makanan, pakaian, ubat nyamuk dan lampu dijana bateri bagi memudahkan mereka bermalam di situ.

Seorang penagih berusia 28 tahun sanggup singgah di kawasan itu bersama ibunya dipercayai untuk membeli dadah, ketika mereka dalam perjalanan ke Pekan Sabak Bernam.   

Bagaimanapun, hasratnya terbantut apabila dia ditahan pihak berkuasa manakala ibunya yang berusia 59 tahun terpaksa dihantar pulang oleh petugas media kerana tidak tahu memandu. 

Turut ditahan dalam operasi berkenaan adalah seorang penagih berusia 29 tahun dari Bagan Nakhoda Omar yang membawa isteri dan anak perempuan berusia tiga tahun ke lubuk penagihan itu.

Berita Harian X