Sabtu, 9 Januari 2016 | 4:29pm

10 lelaki ditahan kes pengawal ditetak

SHAH ALAM: Sepuluh lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun, ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan di sekitar Shah Alam petang kelmarin berhubung kes tetak seorang pengawal keselamatan tapak pembinaan, pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata pihaknya mengesan sembilan suspek yang dipercayai berada di utara tanah air.

Polis menahan seorang suspek di sekitar bandar raya ini kira-kira jam 4 petang, kelmarin sebelum sembilan lagi ditahan di Bukit Kayu Hitam.

"Sembilan suspek yang ditahan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand itu akan dibawa ke Shah Alam hari ini untuk mendapatkan perintah reman dan soal siasat lanjut," katanya selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Persatuan Penduduk Kompleks Perumahan Polis Seksyen 20 dengan kerjasama IPD Shah Alam, pagi tadi. 

Polis tidak menolak kemungkinan semua suspek yang ditahan adalah ahli kongsi gelap.

Dalam perkembangan berkaitan, pengawal keselamatan yang ditetak itu dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 9 malam tadi selepas dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) pada Jumaat.

"Berikutan mangsa sudah meninggal dunia, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Polis juga ingin meminta waris iaitu isteri serta keluarga daripada perkahwinan pertama mangsa untuk tampil menuntut jenazah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang," katanya. 

Kira-kira jam 4 pagi Khamis, mangsa yang sedang bekerja didatangi enam lelaki tidak dikenali dan bertanyakan individu yang dikatakan bekerja di tapak projek itu. 

Mangsa yang baru dua minggu bekerja di situ memaklumkan dia tidak mengenali individu yang dicari kumpulan itu sebelum dia dipukul dan ditetak sehingga parah.

Berita Harian X