Selasa, 22 Disember 2015 | 4:38pm

Tekanan air rendah di Sepang, Kuala Langat 28-29 Disember

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) akan menjalankan kerja penambahbaikan kecekapan sistem bekalan air di Sepang dan Kuala Langat pada 28 dan 29 Disember ini, bermula 9 malam hingga 5 pagi.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SYABAS, Amin Lin Abdullah, berkata sepanjang kerja berkenaan, kawasan terbabit akan mengalami tekanan air rendah.

"Pengguna dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang kerja pembaikan dilakukan.

"Bekalan dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh 16 jam bermula jam 5 pagi pada 29 Disember ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Amin berkata, antara kawasan yang akan berlaku gangguan air ialah Kampung Baharu Tanjung Sepat; Kampung Tanjung Sepat Darat; Balai Polis Tanjung Sepat; Taman Mutiara; Taman Sri Bayu dan Taman Langat Jaya, Kuala Langat.

Kawasan di Sepang yang mengalami gangguan air ialah Kampung Jenderam Hilir; Taman Indah KLIA; Stesen Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) Salak Tinggi; Taman Sepang Sungai Pelek; pekan Sepang dan Bagan Lalang.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh muat turun aplikasi mySYABAS melalui Google Playstore dan AppStore atau melayari www.syabas.com.my, Facebook SYABAS atau Twitter SYABAS (@puspel).

Berita Harian X