Rabu, 7 Jun 2017 | 2:16pm

KPDNKK rampas 2,764 kasut berjenama tiruan

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak, Suhaimi Mat Sari (dua kanan) menunjukkan sebahagian kasut berjenama tiruan yang disita ketika serbuan di sebuah rumah yang dijadikan stor di Bukit Merah, Menglembu. - Foto ihsan KPDNKK
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak, Suhaimi Mat Sari (dua kanan) menunjukkan sebahagian kasut berjenama tiruan yang disita ketika serbuan di sebuah rumah yang dijadikan stor di Bukit Merah, Menglembu. - Foto ihsan KPDNKK

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 2,764 pasang kasut tiruan dua jenama terkenal bernilai RM62,320 dalam serbuan di dua rumah yang dijadikan stor penyimpan di kawasan Bukit Merah, Menglembu di sini, petang semalam.

Operasi membanteras penjualan barang tiruan pada jam 5.45 petang yang disertai 15 anggota pegawai penguat kuasa KPDNKK dan empat anggota polis itu adalah rampasan terbesar membabitkan kasut tiruan di Perak pada tahun ini.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Suhaimi Mat Sari berkata, serbuan berdasarkan maklumat awal orang awam itu turut menahan dua peniaga berusia 21 dan 72 tahun di kedua-dua premis berkenaan untuk siasatan lanjut.

"Jarak antara dua rumah yang dijadikan sebagai stor simpanan kasut tiruan itu hanya 50 meter, kedua-duanya tidak mempunyai pertalian keluarga tetapi menjalankan perniagaan yang sama.

"Mereka cuba mengelirukan mata pihak berkuasa dan orang awam dengan menjadikan rumah sebagai stor simpanan. Mereka juga menjual kasut itu menyamai harga asal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Stor Eksibit KPDNKK Jalan Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Suhaimi berkata, hasil siasatan awal mendapati barang yang disita adalah untuk pengedaran dan penjualan secara borong atau runcit di sekitar bandar raya dan seluruh negeri ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.

Berita Harian X