Isnin, 5 Jun 2017 | 2:48pm
Grafik situasi denggi negeri Kedah - Ihsan Jabatan Kesihatan negeri Kedah.
Grafik situasi denggi negeri Kedah - Ihsan Jabatan Kesihatan negeri Kedah.

Kes denggi meningkat 100 peratus di Kedah

PENGARAH Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail.- Foto Amran Hamid
PENGARAH Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail.- Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Sejumlah 712 kes demam denggi direkodkan di seluruh Kedah antara Januari hingga 3 Jun ini, iaitu meningkat 100 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata sembilan daerah menunjukkan peningkatan dengan Kuala Muda serta Kulim paling ketara, masing-masing meningkat 148 dan 123 kes.

Mengulas lanjut, katanya tujuh lagi daerah yang turut mencatat peningkatan ialah Kubang Pasu (47 kes berbanding 16 kes), Langkawi (21 kes berbanding 10 kes), Sik (31 kes berbanding 5 kes), Padang Terap (16 kes berbanding 2 kes), Bandar Baharu (12 kes berbanding 9 kes), Baling (74 kes berbanding 66 kes) dan Kota Setar (35 kes berbanding 34 kes).

"Sehingga kini terdapat lapan lokaliti wabak denggi yang aktif iaitu di Kuala Muda, membabitkan Taman Sri Tanjung yang merekodkan empat kes, selain Taman Arked 1 (7 kes) serta Taman Ria Jaya Zon A (2 kes).

"Lima lagi lokaliti membabitkan dua di Padang Terap iaitu di Kampung Kubang Daksa dan Kampung Banggol, selain Kampung Surau dan Kampung Charuk Kit di Sik serta Kampung Changai di Kubang Pasu... bagaimanapun semua lokaliti wabak terkawal," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengenai Chikungunya, Dr Norhizan berkata lokaliti wabak yang aktif ketika ini hanya di daerah Kuala Muda iaitu di Taman Ria Zon 4 yang merekodkan empat kes sebelum ini, manakala di empat lagi daerah iaitu Baling, Kulim, Kubang Pasu dan Sik tidak lagi aktif.

Daripada Januari hingga 3 Jun lalu, sejumlah 171 kes chikungunya dilaporkan di seluruh Kedah, membabitkan lima daerah iaitu Kuala Muda (96 kes), Baling (72 kes) serta masing-masing satu kes di Kulim, Kubang Pasu dan Sik.

Berita Harian X