Ahad, 23 April 2017 | 4:43pm

Khazanah Wakaf tawar makanan percuma

DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (tengah) melihat barangan makanan yang diwakafkan untuk orang ramai selepas majlis pelancaran Program Khazanah Wakaf di Bangunan UMNO Parlimen Jerai. - Foto Amran Hamid
DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (tengah) melihat barangan makanan yang diwakafkan untuk orang ramai selepas majlis pelancaran Program Khazanah Wakaf di Bangunan UMNO Parlimen Jerai. - Foto Amran Hamid

YAN: Golongan kurang berkemampuan yang terputus bekalan makanan di daerah ini, boleh mendapatkan bantuan makanan percuma melalui program Khazanah Wakaf.

Program di Bangunan UMNO Bahagian Jerai, Guar Chempedak, dekat sini itu dianjur Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, menyatakan kebanggaannya apabila Kedah dipilih melaksanakan projek perintis terbabit.

Katanya, program bermula di Parlimen Jerai akan mengumpulkan barangan sumbangan untuk diambil golongan memerlukan tanpa mengira kaum.

"Sesiapa saja khususnya penduduk di Parlimen Jerai yang terputus bekalan makanan boleh ke Bangunan UMNO Bahagian Jerai untuk mendapatkan bantuan.

"Mereka boleh ambil apa saja demi kelangsungan hidup tetapi perlu membawa kad pengenalan bagi membolehkan pihak urus setia merekodkan maklumat untuk rujukan masa depan.

"Maklumat itu akan membolehkan kita mengenal pasti mereka yang mungkin memerlukan bantuan lain selain makanan dan tindakan susulan boleh diambil," katanya selepas melancarkan program itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Malaysia, Datuk Prof Dr Sudin Harun.

Terdahulu, seramai 200 penerima membabitkan golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan wakaf berbentuk bahan makanan kering.

Berita Harian X