Selasa, 11 April 2017 | 2:23pm

KPDNKK bantu pantau manipulasi jualan harumanis

PENGERUSI Jawatakuasan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ahmad Bakri Ali. - Foto Eizairi Shamsudin
PENGERUSI Jawatakuasan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ahmad Bakri Ali. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memastikan tiada peniaga memanipulasi penjualan harumanis yang mula dipasarkan beberapa hari lalu.

Pengerusi Jawatakuasan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ahmad Bakri Ali, berkata pihaknya sedar terdapat segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan menjual mempelam jenis lain sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai khususnya pembeli dari luar Perlis.

"Ada peniaga meletakkan papan tanda mempelam Perlis...pada pandangan orang luar pastinya ia harumanis, namun apabila sudah beli mereka rasa tertipu kerana terdapat pelbagai jenis mempelam yang dicampur.

"Tanggapan seperti ini kita tidak mahu kerana mencemarkan nama baik (Perlis dan harumanis) dan kita mahu perniaga lebih beretika ketika menjalankan perniagaan," katanya ketika menjawab soalan lisan Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di sini hari ini.

Ahmad Bakri berkata, harga lantai harumanis pada tahun ini ditetapkan kerajaan negeri pada kadar RM26 sekilogram.

"Jabatan Pertanian juga sudah menjalankan pemantauan harga ini di semua ladang berdaftar. Mengenai harga siling kita tidak dapat menetapkannya kerana ia berdasarkan permintaan serta penawaran dan difahamkan ia dijual sekitar RM38 hingga RM45 sekilogram," katanya.

Berita Harian X