Khamis, 30 March 2017 | 6:40pm

Berpantang di pusat pemindahan

JURURAWAT, Siti Patimah Jaman (kiri) memeriksa kesihatan bayi, Muhamad Alif Haikal 1 bulan, anak mangsa banjir, Rozi Che Soh 47, (kanan) dan Sarimah Arpan 42, di pusat penempatan sementara mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Padang Lalang. - Foto L.Manimaran
JURURAWAT, Siti Patimah Jaman (kiri) memeriksa kesihatan bayi, Muhamad Alif Haikal 1 bulan, anak mangsa banjir, Rozi Che Soh 47, (kanan) dan Sarimah Arpan 42, di pusat penempatan sementara mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Padang Lalang. - Foto L.Manimaran

BAGAN SERAI: Seorang mangsa banjir terpaksa mengharungi tempoh berpantang bersama bayinya yang berusia 33 hari di Pusat Pemindahan Kampung Padang Lalang, Gunung Semanggol di sini, apabila kediaman mereka di Kampung Tebuk Panchor, dinaiki air.

Mangsa, Sarimah Arpan, 41, berkata dia yang baru melahirkan anak keenam, Muhammad Alif Haikal Rozi, dipindahkan pada jam 8 pagi tadi selepas air memasuki kediaman mereka.

Katanya, suaminya, Rozi Che Soh, 47, dan lima anak mereka turut menumpang sementara di pusat pemindahan.

"Saya langsung tidak menjangkakan perkara ini (banjir) dan terpaksa akur arahan pihak keselamatan kerana paras air yang memasuki rumah semakin tinggi.

"Biarpun keadaan di sini tidak selesa untuk saya menguruskan bayi dan diri yang masih berpantang, saya akur demi kesihatan dan keselamatan kami semua," katanya ditemui di pusat pemindahan berkenaan hari ini.

Mereka antara 66 mangsa banjir dari dua kampung termasuk Kampung Tanjung Bugis yang menumpang di pusat pemindahan berkenaan.

Sarimah berkata, sepanjang menjadi mangsa banjir sejak 10 tahun lalu, ini kali pertama dia terpaksa berpindah dalam keadaan berpantang.

Sementara itu, Rozi yang juga petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, dia nekad membawa anak dan isteri yang masih berpantang ke pusat pemindahan terbabit kerana bimbang akan faktor keselamatan dan kesihatan mereka.

"Saya juga mahu memudahkan isteri dan anaknya membuat pemeriksaan harian di klinik kesihatan berhampiran," katanya.

Berita Harian X