Sabtu, 11 March 2017 | 12:02pm

3 sahabat terima tuah sotong

SEBAHAGIAN pemenang ceria bersama hadiah masing-masing pada majlis penutup dan penyampaian hadiah Cabaran Sotong Langkawi 2017 di Pantai Chenang, Langkawi, hari ini. - Foto Hamzah Osman
SEBAHAGIAN pemenang ceria bersama hadiah masing-masing pada majlis penutup dan penyampaian hadiah Cabaran Sotong Langkawi 2017 di Pantai Chenang, Langkawi, hari ini. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Pasukan Chenang 2 yang dianggotai tiga sahabat muncul juara Cabaran Sotong Langkawi 2017 di Pantai Chenang di sini hari ini, selepas berjaya menaikkan 25.67 kilogram (kg) sotong.

Pertandingan anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bermula jam 5 pagi itu menyaksikan Basirun Saad, 45, Jamaludin Hashim, 60, dan Zakaria Bakar, 47, menewaskan 35 pasukan lain sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000.

Tempat kedua dirangkul pasukan Chenang 3 yang dianggotai dua beranak, Che Azizi Rajehan, 48, dan anaknya, Mohamad Hafif, 16, selepas berjaya menaikkan 14.55 kg sotong sekali gus membawa pulang RM3,000.

Pasukan Renjer Utara yang diwakili Mohamad Zahir Saidan Aris, 28, Mohamad Alwaris, 24, Alwaris Arista, 26, dan Shamsudin Yasin, 40, pula memenangi tempat ketiga menerusi tangkapan sotong seberat 10.05 kg dan membawa pulang RM2,000.

Juara kategori Sotong Terpanjang (Cumit-cumit) disandang Mohd Aswadi Mat Arshad, 35, selepas menaikkan sotong cumit-cumit sepanjang 44.5 sentimeter (cm), manakala kategori Sotong Terpanjang (Menggabang) diraih Basirun menerusi sotong Menggabang 61.5 cm.

Bagi Pertandingan Memancing Ketam pula, Hafizudin Md Zuki muncul johan selepas berjaya menaikkan ketam seberat 0.340 kg, diikuti Mohd Farhan Aidid (0.275kg) kedua, dan Nurizan Ismail (0.195kg) ketiga.

Hadiah disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah yang juga Ahli Lembaga Pengarah LADA, Nor Saidi Nanyan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) LADA, Ahmad Zaini Zaba'ai.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, 36 pasukan membabitkan 144 peserta menyertai pertandingan itu dengan jumlah berat tangkapan sotong keseluruhan mencecah 148kg.

Berita Harian X