Sabtu, 25 Februari 2017 | 7:45pm

Siakap putih bawa tuah

JUARA, Ahmad Fitri Abdullah, 28, (tiga dari kiri) bersama Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Ghazali Ibrahim (empat dari kiri) ceria menunjukkan ikan siakap putih dan hadiah yang dimenanginya pada pertandingan Jejak Memancing Terbuka Langkawi 2017 di Kuala Chenang. - Foto Hamzah Osman
JUARA, Ahmad Fitri Abdullah, 28, (tiga dari kiri) bersama Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Ghazali Ibrahim (empat dari kiri) ceria menunjukkan ikan siakap putih dan hadiah yang dimenanginya pada pertandingan Jejak Memancing Terbuka Langkawi 2017 di Kuala Chenang. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Ikan siakap putih seberat 7.04 kilogram (kg) yang dijinakkan seorang kakitangan hotel membolehkannya muncul juara Jejak Memancing Langkawi Terbuka 2017 di Benteng Pemecah Ombak Kuala Chenang di sini, hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan Ahmad Fitri Abdullah, 28, mengalahkan 380 pemancing lain pada pertandingan selama tujuh jam bermula jam 9 pagi itu, dan membawa pulang hadiah RM5,000.

Ahmad Fitri berkata, dia menggunakan umpan udang hidup bagi menjinakkan siakap putih terbabit.

"Siakap putih ini adalah ikan kedua yang saya dapat dalam pertandingan ini iaitu kira-kira sejam sebelum masa pertandingan tamat untuk membolehkan saya muncul juara," katanya yang menetap di Kampung Kuala Teriang, di sini.

Mohd Ari Shuib, 35, dari Kampung Sungai Menghulu yang menaikkan pari seberat 3.9kg menduduki tempat kedua untuk membawa pulang RM2,000 manakala seorang anggota Polis Bantuan Lembaga Pembangunan Langkawi, Ibrahim Napiah, 43, yang menjinakkan parit seberat 3.15kg di tempat ketiga dan memenangi RM1,000.

Pemancing tegar, Baharudin Bahari, 56, dari Kampung Ulu Melaka turut pulang bersama RM1,000 selepas muncul pemenang kategori jumlah ikan terbanyak pada pertandingan anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah itu.

Hadiah disampaikan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Ghazali Ibrahim dengan disaksikan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad.

Berita Harian X