Isnin, 13 Februari 2017 | 9:14pm

4 kematian akibat denggi di Perak

WABAK denggi sudah meragut empat nyawa di Perak sejak bulan lalu hingga kelmarin. - Foto hiasan
WABAK denggi sudah meragut empat nyawa di Perak sejak bulan lalu hingga kelmarin. - Foto hiasan

IPOH: Wabak denggi sudah meragut empat nyawa di Perak sejak bulan lalu hingga kelmarin, berbanding tiada kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Berdasarkan pemantauan Jabatan Kesihatan Perak, berlaku peningkatan kes demam denggi dalam tempoh sama tahun ini.

Kenyataan jabatan itu menyebut, pada minggu keenam tahun ini iaitu 5 Februari hingga kelmarin, sebanyak 150 kes demam denggi dilaporkan berbanding 141 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sembilan kes atau 6.4 peratus.

"Jumlah kumulatif kes yang dilaporkan dari 1 Januari sehingga 11 Februari 2017 adalah 823 kes, berbanding 728 kes bagi tempoh sama tahun lalu, meningkat sebanyak 13 peratus atau 95 kes.

"Bagi tempoh yang sama juga, empat kes kematian dilaporkan berbanding tiada kematian bagi tempoh sama tahun lalu," kata kenyataan itu yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 60 lokaliti wabak denggi dilaporkan antara 5 Februari hingga kelmarin.

Katanya, sembilan kawasan panas dilaporkan di dua daerah iaitu lapan di Kinta dan satu di Larut Matang dan Selama (LMS) manakala sembilan lokaliti wabak tidak terkawal dan 42 lokaliti wabak terkawal.

"Aktiviti pencegahan dan kawalan denggi sedang giat dijalankan Jabatan Kesihatan bersama PBT (pihak berkuasa tempatan) dan agensi lain bagi mengekang penularan denggi terutama di daerah Kinta," kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 9,615 premis telah diperiksa bagi mengesan tempat pembiakan aedes sepanjang minggu keenam dan daripada jumlah itu, 182 premis didapati ada tempat pembiakan jentik-jentik.

Berita Harian X