Selasa, 24 Januari 2017 | 2:05pm

MADA syor kaedah tanaman tabur terus kering

 OTHMAN (tengah) bersama Pengurus Besar MADA Kedah, Datuk Fouzi Ali (kanan) dan Ahli Lembaga Pengarah MADA, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin melihat risalah panduan tabur terus kering selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, Alor Setar, hari ini. - Foto Amran Hamid
OTHMAN (tengah) bersama Pengurus Besar MADA Kedah, Datuk Fouzi Ali (kanan) dan Ahli Lembaga Pengarah MADA, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin melihat risalah panduan tabur terus kering selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, Alor Setar, hari ini. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Lebih 70,000 petani di Kedah dan Perlis harus bersedia untuk melaksanakan kaedah penanaman padi secara tabur terus kering, bagi berdepan kemungkinan fenomena El Nino yang berisiko menjejaskan takungan air di empangan milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Pengerusinya, Datuk Othman Aziz, berkata kaedah tabur terus kering adalah satu pelan kontingensi MADA yang akan diaktifkan disebabkan bekalan air terhad bagi musim penanaman satu 2017, susulan kekurangan taburan hujan di tiga empangan milik lembaga berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga semalam, jumlah takungan di tiga empangan iaitu Muda, Ahning dan Pedu adalah sekitar 56.21 peratus.

"Jumlah daripada takungan itu adalah 29.08 peratus kurang daripada takungan pada tarikh sama tahun lalu, sekali gus diramalkan tidak mampu memenuhi keperluan air bagi menyempurnakan penanaman padi musim satu tahun ini.

"Petani kena terima untuk melaksanakan kaedah ini kerana jika tidak, mereka tidak dapat menjalankan proses tanaman padi dan kita ada pasukan pengembangan yang akan turun ke pelbagai peringkat bagi memberi penerangan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MADA di sini, sebentar tadi.

Pada masa sama, Othman berkata dengan menggunakan kaedah tabur terus kering ini, bekalan air hanya diberi sebagai pengairan sokongan daripada air pengairan dan bergantung kepada hujan untuk mengairi sawah.

Beliau berkata, MADA pernah melaksanakan kaedah sama sebanyak lima musim sebelum ini, bermula pada tahun 1978 hingga 1993 dengan hasil purata padi yang diperoleh antara 3.6 hingga 4.2 tan sehektar.

Berita Harian X