Isnin, 26 Disember 2016 | 5:45pm

Penyusutan takungan mungkin jejaskan hasil padi MADA

PENGERUSI MADA, Datuk Othman Aziz. - Foto Sharul Hafiz Zam
PENGERUSI MADA, Datuk Othman Aziz. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Penyusutan paras takungan air khususnya di tiga empangan utama di negeri ini, dijangka menjejaskan hasil tuaian 57,000 petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada musim 1/2017.

Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz, berkata penyusutan tadahan hingga 49.1 peratus yang mempunyai kaitan dengan fenomena El-Nino tahun ini, dijangka menjejaskan hingga 15 peratus hasil padi.

Beliau berkata, paras takungan semasa air di Empangan Pedu, Muda dan Ahning pada 22 Disember lalu direkodkan pada kadar 741.54 juta meter padu, iaitu kurang 47.2 peratus berbanding 1,405 juta meter padu pada tarikh sama tahun lalu.

"MADA memerlukan 63 peratus kadar takungan di tiga empangan itu bagi membolehkan air dapat dilepaskan secara sempurna untuk tujuan pertanian, selain untuk kegunaan domestik dan industri.

"Kita menerima hujan yang agak banyak di kawasan lapangan, namun tidak di kawasan tadahan, ...walaupun pembenihan awan dilakukan secara berperingkat sejak Julai lalu, 80 peratus daripadanya gagal," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah MADA di sini.

Othman berkata, pihaknya berpendapat kaedah tabur terus kering adalah alternatif sesuai berikutan bekalan air yang terhad bagi musim penanaman 1/2017 dengan meneruskan penanaman padi dua kali setahun, walaupun ia memberi risiko kepada pengurangan kadar cambahan benih.

Katanya, melalui kaedah tabur terus kering ini, bekalan air hanya diberi sebagai sokongan daripada air pengairan, namun turut bergantung kepada air hujan untuk mengairi sawah.

"Sehubungan itu, MADA akan menetapkan jadual penanaman padi musim 1/2017 yang bersesuaian dengan ramalan hujan, ...kita tetap mengharapkan hujan di kawasan tadahan dan mencapai takungan melebihi 63 peratus bagi memastikan air dapat dilepaskan mengikut jadual," katanya.

Berita Harian X