Jumaat, 9 Disember 2016 | 10:55pm
KERETA dinaiki dua penjenayah yang terbabas selepas ditembak polis
KERETA dinaiki dua penjenayah yang terbabas selepas ditembak polis

Polis tembak kereta suspek, 2 ditahan

DADAH yang ditemui dalam kenderaan dinaiki suspek.
DADAH yang ditemui dalam kenderaan dinaiki suspek.

KUALA KANGSAR: Dua penjenayah diberkas selepas kereta dinaiki mereka ditembak polis sebelum kenderaan itu terbabas di Talang, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, penjenayah berusia 30 dan 34 tahun cedera ringan selepas kereta PROTON Saga dinaiki terbabas dan merempuh tiang elektrik.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, unit peronda polis (MPV) mengesan kereta itu dalam keadaan mencurigakan di persimpangan lampu isyarat di Talang dan mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan.

Katanya, bagaimanapun pemandu berkenaan memecut dan memasuki laluan bertentangan, menyebabkan polis mengejar sebelum terpaksa melepaskan beberapa das tembakan untuk memberhentikan kenderaan itu dari membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Selepas kira-kira 20 minit mengejar, kereta suspek terbabas dan melanggar tiang elektrik tepi jalan berhampiran sebuah kilang kayu Talang, sebelum polis berjaya menangkap dua lelaki dalam kenderaan itu.

"Pemeriksaan dalam kenderaan itu kemudian menemukan beberapa bahan disyaki dadah iaitu serbuk dipercayai heroin seberat 8.69 gram dan bahan disyaki methamphetamine seberat 0.95 gram serta satu pil Eramin 5," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Termizi berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek berasal dari Taiping, dekat sini dan ujian saringan awalan air kencing mereka dikesan positif dadah syabu.

Beliau berkata, suspek berusia 30 tahun mempunyai lapan kesalahan lampau membabitkan kes dadah, jenayah harta benda dan jenayah kekerasan, manakala suspek berusia 34 tahun mempunyai lima kesalahan lampau kes dadah dan jenayah kekerasan.

Ahmad Termizi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dari aspek penyalahgunaan dadah dan juga kes-kes jenayah serta kedua-dua suspek akan dipohon tahanan reman esok.

Berita Harian X