Khamis, 8 Disember 2016 | 8:58pm

JPJ sita 2 van Thailand dalam Ops Kenderaan Asing

PENGARAH JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff melihat van yang disita di pejabat JPJ Kedah di Jalan Suka Menanti. - Foto Zuliaty Zulkiffli
PENGARAH JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff melihat van yang disita di pejabat JPJ Kedah di Jalan Suka Menanti. - Foto Zuliaty Zulkiffli

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita dua van dari Thailand yang mempunyai 48 saman tertunggak selain mengeluarkan 103 saman terhadap 31 kenderaan berikutan melakukan pelbagai kesalahan melalui Ops Kenderaan Asing, semalam.

Difahamkan, kedua-dua van dari Thailand itu masing-masing mempunyai 20 dan 28 saman tertunggak berjumlah keseluruhan RM14,400 berikutan melanggar syarat Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) di negara ini.

Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff, berkata melalui operasi sehari yang dijalankan di beberapa lokasi di negeri ini, sebanyak RM30,970 nilai kompaun berjaya dikutip daripada 31 kenderaan asing yang melakukan pelbagai kesalahan selain pihaknya menyita dua van terbabit.

Beliau berkata, kedua-dua van itu yang dipenuhi penumpang dari Thailand ditahan di Jalan Alor Setar-Kangar, semalam, berikutan gagal membayar saman tertunggak manakala penumpangnya pula dihantar ke Terminal Bas Shahab Perdana, dekat sini.

"Operasi dijalankan bermula jam 5 pagi hingga 12 tengah malam membabitkan 54 anggota dan pegawai di pintu masuk sepadan Bukit Kayu Hitam selain rondaan di setiap lorong tikus serta jalan utama.

"Hasil maklumat diperoleh, van dari Thailand ini melakukan kesalahan berikutan tidak mempunyai ICP meskipun memasuki lebih dua kilometer di laluan negara kita selain mengambil keuntungan membawa penumpang hingga ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru," katanya pada sidang media, di sini tadi.

Pada masa sama, Ismasuhaimi berkata, sejak Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 2,822 saman dikeluarkan terhadap 1,414 kenderaan dari Thailand membabitkan 2,849 kesalahan yang diperuntukkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X