Khamis, 8 Disember 2016 | 9:21am

Pemuda maut motosikal bergesel kenderaan 4x4

ORANG ramai menutup mayat Muhammad Afiq yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Muda, Pantai Chenang, Langkawi, semalam. - Foto Facebook
ORANG ramai menutup mayat Muhammad Afiq yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Muda, Pantai Chenang, Langkawi, semalam. - Foto Facebook

LANGKAWI: Seorang kakitangan hotel maut selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di Jalan Kuala Muda, Pantai Chenang di sini, petang semalam.

Mangsa, Muhammad Afiq Samsuddin, 20, dari Kamunting, Perak dilaporkan mati di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Langkawi, Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh, berkata dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa dalam perjalanan dari Pantai Chenang menghala ke arah Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Langkawi.

"Kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Mangsa terpelanting sebelum terperosok ke bawah sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda yang sudah berhenti selepas pemandunya seorang wanita berusia 28 tahun sempat membrek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berita Harian X