Ahad, 4 Disember 2016 | 2:19pm

7 kanak-kanak Orang Asli sertai majlis khatan perdana

DATUK Rusnah Kassim memancut air kepada peserta Majlis Khatan Perdana Daerah Slim River di Dewan Kampung Kurnia, Slim River, hari ini. - Foto Rosman Shamsudin
DATUK Rusnah Kassim memancut air kepada peserta Majlis Khatan Perdana Daerah Slim River di Dewan Kampung Kurnia, Slim River, hari ini. - Foto Rosman Shamsudin

SLIM RIVER: Tujuh anak Orang Asli antara 40 yang diraikan pada Majlis Khatan Perdana Daerah Slim River di Dewan Kampung Kurnia di sini, hari ini.

Seorang daripada kanak-kanak terbabit, Mohd Safuan Husni, 7, mengakui sering ditakutkan rakan yang sudah berkhatan.

"Walau pun selalu kena usik, saya tak takut nak berkhatan sebab tak sabar nak jadi dewasa.

"Bila saya buat keputusan setuju nak berkhatan cuti sekolah tahun ini, ramai yang cuba takutkan saya tapi saya tak peduli dan tambah seronok sebab enam lagi kawan sekampung ikut sama," katanya ketika ditemui.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Datuk Rusnah Kassim.

Di Ipoh, seramai 50 kanak-kanak menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai anjuran Masjid An Nur Batu 8 Ulu Kinta dekat sini.

Majlis disertai kanak-kanak seawal usia empat tahun hingga 12 tahun itu disempurnakan perasmiannya oleh ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

Peserta paling muda, Muhammad Raiyan Mohd Reza, 4, ketika ditemui mengakui seronok menyertai program itu beramai-ramai.

"Adik takut sikit tapi ramai kawan ada," katanya.

Berita Harian X