Jumaat, 25 November 2016 | 10:39am

Wanita maut nahas di Sik

Anggota Bomba dan Penyelamat Sik bersama anggota Bridged Sukarelawan 1 Malaysia (B1SM) sedang mengangkat mayat mangsa. - Foto ihsan Bomba
Anggota Bomba dan Penyelamat Sik bersama anggota Bridged Sukarelawan 1 Malaysia (B1SM) sedang mengangkat mayat mangsa. - Foto ihsan Bomba

SIK: Seorang wanita maut, manakala suami dan tiga anaknya terselamat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta di jalan raya Teloi Timur, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata mangsa yang maut, Norliza Ishak, 32, bersama suaminya Yaacob Mat, 33, serta tiga anak, Danial Harith, 8; Damia Qisha Batrisyia, 5 dan Danish Hadif,2, menaiki kereta jenis Toyota Vios dalam perjalanan dari arah Teloi Timur menghala ke arah Sik sebelum terbabit dalam kemalangan pada jam 10 malam itu.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu suami mangsa hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung.

"Norliza yang duduk di tempat duduk hadapan tercampak keluar dan dihempap kereta terbabit sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat, manakala suami dan tiga anak mangsa dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian.

Berita Harian X