Khamis, 27 Oktober 2016 | 9:39pm

Kedah rancang bina stadium baharu

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) melihat bubur asyura yang menyertai pertandingan di majlis Muafakat Asyura Perdana yang diadakan di Dataran Pahlawan, Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) melihat bubur asyura yang menyertai pertandingan di majlis Muafakat Asyura Perdana yang diadakan di Dataran Pahlawan, Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah berhasrat membina sebuah lagi stadium baharu bagi menampung jumlah peminat dan penyokong bola sepak negeri yang semakin ramai.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata stadium baharu itu akan mempunyai ciri-ciri moden yang mampu menampung antara 60,000 hingga 70,000 penonton berbanding 35,000 penonton sahaja di Stadium Darul Aman.

Katanya, stadium terbabit akan dibina jauh sedikit dari bandar raya ini kerana perlukan ruang parkir lebih luas untuk penonton.

"Kita akan bincang perkara ini di peringkat negeri, walaupun kita sekarang berdepan dengan kegawatan ekonomi namun tidak salah membuat perancangan dari sekarang demi keselesaan masa depan.

"Perbincangan dengan pihak swasta (pemaju) akan turut diadakan dalam perbincangan ini kelak agar kita dapat menganggarkan kos termasuk pelan pembinaan stadium yang akan dilengkapi dengan premis perniagaan, gerai serta kemudahan lain untuk pengunjung," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Muafakat Asyura Perdana di Dataran Pahlawan Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, perancangan pembinaan stadium baharu itu akan direalisasikan secepat mungkin kerana ia adalah keperluan rakyat untuk menyaksikan acara sukan dengan lebih selesa.

Berita Harian X