Khamis, 27 Oktober 2016 | 3:21pm

Langkawi catat peningkatan demam denggi

LANGKAWI: Kes demam denggi di pulau ini bagi tempoh Januari hingga awal bulan ini meningkat empat kali ganda kepada 35 kes berbanding hanya lapan kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mohd Lutpiyudin Azidin, berkata bagaimanapun, tiada kematian direkodkan dalam tempoh itu, berbanding satu kematian membabitkan warga asing dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya berdasarkan pemantauan semasa, tiga penempatan penduduk paling berisiko di daerah ini iaitu Kampung Bukit Malut, Taman Nilam dan Taman Dahlia.

"Sehingga kini kaedah terbaik membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes adalah aktiviti gotong royong secara berkala oleh penduduk setempat, selain program Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP) Aedes oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah 'Tiada Aedes, Tiada Denggi, Tiada Zika' sempena Gotong Royong anjuran Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) di Taman Nilam di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua MPLBP, Abdul Bari Abdullah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi, Ahmad Zaini Zaba'ai.

Berita Harian X