Isnin, 24 Oktober 2016 | 1:10pm

Polis tahan tiga lelaki, rampas heroin lebih RM40,000

RAVI Chandran (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini. - Foto Yahya Zainuddin
RAVI Chandran (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini. - Foto Yahya Zainuddin

IPOH: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang pemandu teksi dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah jenis heroin dalam dua tangkapan berasingan di Kampar, dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner VR Ravi Chandran, berkata dalam tangkapan jam 9.07 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota JSJN negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar menahan seorang pemandu teksi berusia 65 tahun di susur keluar Plaza Tol Gopeng, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebelum menemui dadah jenis heroin seberat 2.71 kilogram (kg) diletakkan di alas kaki tempat duduk penumpang.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan air kencing turut mendapati pemandu teksi itu negatif dadah.

"Dadah ditemui dalam teksi berkenaan bernilai RM40,658 dipercayai untuk diedar di kawasan Gopeng dan mampu dibekalkan kepada kira-kira 3,500 penagih dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Ravi Chandran berkata, susulan penahanan pemandu teksi yang dipercayai suspek utama dalam kes itu, polis menahan dua lagi lelaki berusia 44 dan 43 tahun di sebuah rumah di Malim Nawar, Kampar, kira-kira dua jam kemudian.

"Hasil semakan mendapati suspek berusia 43 tahun mempunyai lapan rekod jenayah, namun negatif dadah, manakala seorang lagi positif dadah jenis morfin selepas kedua-duanya menjalani ujian saringan air kencing.

"Semua suspek direman tujuh hari berakhir Jumaat ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih mengesan saki baki individu dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah itu yang aktif beroperasi di kawasan Kampar dan Gopeng.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Berita Harian X