Ahad, 9 Oktober 2016 | 7:01pm

Pelajar POLISAS menang LEC

 JUARA kategori IPT Langkawi Extreme Challenge (LEC) 2016, di Langkawi, hari ini. - Foto Facebook LEC
JUARA kategori IPT Langkawi Extreme Challenge (LEC) 2016, di Langkawi, hari ini. - Foto Facebook LEC

LANGKAWI: Kesungguhan dan kekuatan stamina empat pelajar mewakili Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang membolehkan mereka membolot hadiah wang tunai RM2,000 selepas muncul juara kategori institusi pengajian tinggi (IPT) Langkawi Extreme Challenge (LEC) 2016, di sini.

Cabaran bermula jam 8.45 pagi tadi menyaksikan pasukan diwakili Mohd Hakimi Gappor Ahmad, Ahmad Fakhru Radzi Mohd Ghazali, Raja Nur Aina Rahimi Raja Kamarulzaman dan Nor Masshahrina Norasid mengatasi 20 pasukan lain kategori sama selepas menamatkan dua disiplin sukan lasak dengan catatan empat jam 22 minit dan 36 saat.

Bagaimanapun, acara berkayak Pantai Tanjung Rhu-Pulau Pasir sejauh tiga kilometer yang sepatutnya menjadi cabaran terakhir kepada semua peserta dibatalkan penganjur akibat cuaca buruk.

Ketika ditemui, Ahmad Fakhru Radzi selaku jurucakap kumpulan berkata, semangat kerja berpasukan serta disiplin tinggi sepanjang mengharungi cabaran mendaki dan larian menjadi rahsia kejayaan mereka.

"Dengan kesungguhan dan semangat yang kuat pasukan kami berjaya menamatkan pendakian 4,287 anak tangga sebelum peserta tiba di puncak Gunung Raya setinggi 781 meter dari aras laut di sini.

"Kami juga berjaya menamatkan larian Gunung Raya-Pantai Tanjung Rhu sejauh 20.1 kilometer. Bagaimanapun penganjur telah membatalkan acara kayak ekoran cuaca buruk," katanya ketika ditemui selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah di APL di sini. 

Tempat kedua yang menawarkan wang tunai RM1,500 dimenangi pasukan Kolej Komuniti Kuala Langat yang diwakili Mohammad Akma Mohd Nasir, Muhammad Nur Mahzur Jumiran, Nur Anisyafina Abu Bakar dan A Jassinni menerusi catatan masa 04:36:13s.

Manakala tempat ketiga yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 menjadi milik empat pelajar Muhammad Saiful Jamaludin, Muhammad Fitri Rahim, Siti Suria Mohd Nazri dan Nurul Anis Shafiq ahli Hashim dari Kolej Komuniti Baling dengan catatan masa 04:49:05s.

Juara kategori terbuka dimenangi pasukan Smartan dengan catatan 3:36:27s, disusuli kedua Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam (4:12:08s) dan ketiga KKKL Adventure Team (4:36:28s).

Seramai 116 peserta mewakili 29 pasukan mengambil bahagian pada acara yang memasuki edisi kelapan anjuran APL itu. Hadiah kepada semua pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nayan.

Berita Harian X