Isnin, 19 September 2016 | 1:36pm

Lelaki Nepal maut ditikam rakan serumah

NIBONG TEBAL: Seorang pekerja kilang warga Nepal maut ditikam rakan serumahnya dalam pergaduhan di Taman Seruling Emas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, lelaki berkenaan, Rana Kamal Ram, 37, ditikam dengan pisau hingga mengalami pendarahan dalaman.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abdul Samad, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dan tiga rakan senegara sedang minum minuman keras di rumah sewa mereka sebelum berlaku pertengkaran di antara mangsa dan suspek.

"Polis percaya suspek bertindak menikam mangsa di leher menggunakan sebilah pisau," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Shafee berkata, seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis awal pagi tadi untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala keterangan dua rakan serumah mereka yang berusia 24 dan 37 tahun turut direkodkan.

Berita Harian X