LANGKAWI: Seorang lelaki hilang dipercayai lemas, manakala dua lagi rakannya terselamat selepas diseret ombak ketika mandi di Pantai Chenang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, mangsa yang hilang dikenali, Koi Kian Boon, 21, manakala dua rakannya yang terselamat ialah Tea Wei Jie dan Leong Zhen Yen, juga berusia 21 tahun.
Gerakan mencari dan menyelamat mangsa sedang dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.
Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim, Tan Kok Wee berkata, APMM Langkawi mengaktifkan SAR sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.33 petang.
"Setakat ini, mangsa yang hilang belum dijumpai, manakala dua rakannya yang terselamat sudah dihantar ke Hospital Langkawi dengan ambulans untuk menerima rawatan.
"Jika keadaan tidak mengizinkan operasi SAR akan ditangguhkan dan disambung semula esok pagi," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang ini.