Selasa, 2 Ogos 2016 | 5:14pm

Bengkel jahit tambah pendapatan ibu tunggal, OKU

PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim menyampaikan sijil Guinness World of Records kepada peserta dari Perak yang menyertai acara berkenaan di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. - Foto BERNAMA
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim menyampaikan sijil Guinness World of Records kepada peserta dari Perak yang menyertai acara berkenaan di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. - Foto BERNAMA

IPOH: Kerajaan Perak akan menganjurkan bengkel menjahit menggunakan teknik seni jahitan kreatif 'Restyle' bagi membantu menjana pendapatan wanita tidak berkemampuan, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU). 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim, berkata lima lokasi dipilih untuk program itu, iaitu Behrang, Manjung, Larut Matang dan Selama (LMS) serta dua lagi yang akan dikenal pasti kemudian.

Katanya, program dengan kerjasama syarikat seni jahitan kreatif Epal dan Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) itu turut merancang membekalkan mesin jahit kepada ibu tunggal dan wanita kurang berkemampuan untuk menggalakkan mereka menceburi bidang itu.

Beliau berkata, ia susulan kejayaan lebih 100 peserta dari Perak yang turut serta dalam program menjahit beramai-ramai di Putrajaya pada 9 April lalu yang menerima pengiktirafan Guiness World of Records dan Malaysian Book of Record (MBOR) bagi sofa terpanjang.

"Pengiktirafan ini insentif kepada mereka yang berhasrat menjadi usahawan dan kita percaya bengkel yang akan dijayakan ini mampu menjana pendapatan, khususnya untuk wanita kurang berkemampuan di negeri ini.

"Bengkel seni jahitan Restyle yang menggunakan lebihan kain perca dan baju terpakai dapat membuka minda agar mencari inisiatif baru untuk menambah nilai seni jahitan mereka," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sijil Guinness World of Records kepada 50 daripada 108 peserta dari Perak yang menyertai acara berkenaan di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Perak, Srihartini Mohamed Shamsudin dan Pengarah Urusan Epal, Fully Chye Goet Lee.

Rusni berkata, setiap tahun pihaknya membantu kira-kira 100 wanita tidak berkemampuan dan ibu tunggal terutama dari segi peralatan dan kewangan.

Berita Harian X