Rabu, 6 Julai 2016 | 12:25pm

5,000 hadiri istana terbuka Raja Perlis

ORANG ramai dari semua lapisan masyarakat menghadiri istana terbuka Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau. - Foto Ihsan Pembaca
ORANG ramai dari semua lapisan masyarakat menghadiri istana terbuka Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau. - Foto Ihsan Pembaca

ARAU: Hujan lebat sejak pagi tadi tidak menghalang lebih 5,000 rakyat Perlis termasuk dari Kedah memeriahkan majlis istana terbuka Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini.

Selain menikmati pelbagai juadah termasuk makanan tradisional, orang ramai yang mengunjungi majlis berkenaan turut mengambil peluang bagi mengenali lebih dekat keluarga diraja Perlis.

Baginda ditemani oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil beramah mesra bersama pelbagai lapisan pengunjung.

Walaupun hujan, orang ramai yang berpayung serta berbaju hujan tidak melepaskan peluang bergambar kenang-kenangan di sekitar Istana Arau.

Majlis berkenaan diadakan pada jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Baginda bersama Raja Perempuan Perlis, Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis sebelum itu berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Arau.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) antara tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.

Berita Harian X