Jumaat, 17 Jun 2016 | 6:30pm

107 kes HFMD direkod di Kedah sejak April

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Kedah merekodkan 107 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini bagi tempoh 3 April hingga 11 Jun lalu.

Pengarahnya Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata bagi minggu ke-14 bermula 3 hingga 9 April lalu, tujuh kes wabak dicatatkan iaitu lima wabak berlaku di rumah dan dua berlaku di tadika.

Bagi minggu ke-17 (24-30 April), sebanyak 17 kes dilaporkan berbanding lapan kes pada minggu ke-16 (17-23 April).

Sebanyak 41 kes dicatatkan bagi minggu ke-22 (29 Mei-4 Jun), iaitu kes tertinggi yang dicatatkan dan telah melepasi paras epidemik bagi negeri ini iaitu 34 kes.

"Jumlah kes menurun sedikit kepada 34 kes pada minggu ke-23 (5-11 Jun)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Norhizan berkata, kes HFMD di Kedah menunjukkan penurunan kepada 265 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Jun lalu berbanding 290 kes bagi tempoh sama pada tahun 2015.

Penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71) dan ia merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit dengan tempoh inkubasi adalah tiga hingga lima hari.

Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam, melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah dan hampir keseluruhan pesakit yang mengidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh hingga 10 hari.

Penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100 peratus dalam kalangan kanak-kanak kurang daripada 10 tahun terutama di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska dan tadika.

"Kita nasihatkan kepada ibu bapa atau penjaga jika kanak-kanak yang mempunyai tanda jangkitan agar tidak membawa anak ke tempat awam seperti sekolah dan tadika serta perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin.

"Kami telah mengeluarkan amaran peningkatan kes HFMD kepada semua Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) pada 7 Mei lalu agar mereka dapat mempertingkatkan pendidikan kesihatan dan memberi taklimat kepada orang ramai serta membuat pemantauan di tadika dan taska," katanya. BERNAMA

Berita Harian X