Ahad, 3 April 2016 | 3:05pm

Berkayak solo bantu promosi Discover Kedah 2016

NADZERI Mustaffa melaksanakan misi berkayak secara solo sejauh 440 kilometer (km) dari Tanjung Rhu di Langkawi ke Phuket, Thailand bagi mempromosikan kempen Discover Kedah 2016.
NADZERI Mustaffa melaksanakan misi berkayak secara solo sejauh 440 kilometer (km) dari Tanjung Rhu di Langkawi ke Phuket, Thailand bagi mempromosikan kempen Discover Kedah 2016.

ALOR SETAR: Seorang ahli perniagaan dari Kodiang, dekat sini, akan melaksanakan misi berkayak secara solo sejauh 440 kilometer (km) dari Tanjung Rhu di Langkawi ke Phuket, Thailand bagi mempromosikan kempen Discover Kedah 2016.

Nadzeri Mustaffa, 52, yang menggunakan kayak jenis 'Sea Kayak Ecobiz' buatan New Zealand, dijangka memulakan misi yang dianggar memakan masa tujuh hari itu, mulai 7 April ini dengan diiringi pasukan sokongan.

Nadzeri berkata, beliau terpanggil untuk mempromosikan Kedah di Phuket yang menjadi antara destinasi tumpuan pelancong dunia, sekali gus membantu menarik mereka berkunjung dan merasai pengalaman unik sempena Discover kedah 2016.

"Program ini cukup menarik dan saya mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri kerana saya membawa misi untuk Kedah. Saya harap usaha ini dapat menarik kunjungan pelancong ke negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena gimik pelepasan misi berkayak solo sempena kempen Discover Kedah 2016 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid di Tanjung Chali, di sini, hari ini.

Nadzeri berkata, ia bukan kali pertama bagi dirinya kerana sebelum ini pernah berkayak sejauh kira-kira 5,000km di seluruh negara.

Beliau pernah berkayak secara solo pada Januari 2014 dari Pantai Remis di Perak ke Gua Kerbau di Kodiang sejauh 650km, manakala pada April tahun sama berkayak dari Perlis ke Johor Bahru dan beberapa lokasi lain sejauh kira-kira 2,000km serta pernah mengelilingi Semenanjung dan tamat di Langkawi sejauh kira-kira 2,000km.

Konvoi berlepas 14 April ini akan menjelajah beberapa wilayah sekitar Selatan Thailand seperti Satun, Trang dan Krabi sebelum singgah di wilayah Phang Nga.

Berita Harian X