Rabu, 30 March 2016 | 9:47am

MB Kedah tunai solat Istisqa' bersama rakyat

ORANG ramai menunaikan Solat Istisqa' (solat sunat mohon turun hujan) yang diimamkan oleh Imam Besar, Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim di hadapan Masjid Zahir, Alor Setar pagi ini. - Foto Amran Hamid
ORANG ramai menunaikan Solat Istisqa' (solat sunat mohon turun hujan) yang diimamkan oleh Imam Besar, Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim di hadapan Masjid Zahir, Alor Setar pagi ini. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersama kira-kira 1,500 umat Islam di Kedah menunaikan solat Istisqa' bagi memohon hujan di hadapan Masjid Zahir di sini, pagi tadi.

Solat diimamkan oleh Datuk Sheikh Roslan Abdul Halim manakala khutbah dibacakan oleh Mufti Negeri Kedah, Datuk Muhamad Baderudin Ahmad.

Solat Istisqa' berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Ahmad Bashah yang ditemui selepas solat sunat itu, menyarankan semua masjid di negeri ini menganjurkan acara sama bagi memohon hujan susulan kemarau sejak penghujung tahun lalu.

"Solat sunat ini adalah jalan memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan berikutan fenomena El Nino yang melanda negeri ketika ini.

"Saya menyarankan masjid dan surau di negeri ini melakukan solat sunat Istisqa' secara berterusan supaya usaha ini dimakbulkan Allah," katanya.

Berita Harian X