Ahad, 13 March 2016 | 4:32pm

Perangi aedes: Rakyat tak serius beri kerjasama

PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon (tiga kanan) dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie (enam kanan) hadir pada program 'Jom Kita Gotong-royong, Jom Kita Ganyang' di Taman Tasek, hari ini. - Foto Supian Ahmad
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon (tiga kanan) dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie (enam kanan) hadir pada program 'Jom Kita Gotong-royong, Jom Kita Ganyang' di Taman Tasek, hari ini. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Jabatan Kesihatan Perak kesal dengan sikap penduduk yang tidak serius bekerjasama menjayakan program gotong-royong bagi membanteras pembiakan aedes dan menangani wabak denggi di tiga lokasi sekitar daerah ini hari ini.

Program dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan dijalankan serentak di Taman Tasek membabitkan Taman Tasek Jaya, Taman Tasek Mutiara dan Taman Tasek Baru, selain Kampung Buntong dan Kampung Tersusun Batu 8, di sini hanya disertai segelintir penduduk selain kakitangan agensi kerajaan dan swasta.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata hanya 173 peserta menjayakan gotong-royong di Taman Tasek, membabitkan kakitangan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, kilang Top Glove dan ahli jawatankuasa masjid serta penduduk setempat.

"Kehadiran penduduk kurang dan ini boleh mendatangkan masalah. Mereka yang sepatutnya lebih aktif dengan program seumpama ini dan mungkin kerana sikap itu, penularan penyakit termasuk demam denggi berulang.

"Pada program hari ini, jika bukan kerana kakitangan kilang Top Glove yang kebanyakannya warga asing turun padang, peserta pasti tak ramai," katanya ketika ditemui pemberita pada program 'Jom Kita Gotong-royong, Jom Kita Ganyang'.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Dr Juita berkata, dua kematian akibat denggi dilaporkan di negeri ini dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 10 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

"Dua kes kematian itu membabitkan seorang lelaki 41 tahun dari Batang Padang pada 24 Februari lalu dan seorang wanita 46 tahun pada 4 Mac," katanya.

Berita Harian X