Khamis, 3 March 2016 | 2:26pm

Khidmat pengangkutan awam bersepadu di Taiping

PENGERUSI Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid (empat dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq (tiga dari kiri) melancarkan Perkhidmatan pengangkutan awam bersepadu, Rapid Kamunting yang menghubungkan perkhidmatan bas dan kereta api untuk penduduk di daerah Larut, Matang dan Selama. Hadir sama ialah Yang Dipertua MPT Datuk Abd Rahim Md Ariff (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif rapidbus Zulkifli Mohd Yusoff (dua dari kanan). - Foto Supian Ahmad

TAIPING: Perkhidmatan pengangkutan awam bersepadu khususnya menghubungkan perkhidmatan bas dan kereta api untuk penduduk daerah Larut, Matang dan Selama, dilancarkan hari ini.

Perkhidmatan itu direalisasikan menerusi pelancaran perkhidmatan bas rapidKamunting bermula hari ini membabitkan dua laluan utama bermula jam 6 pagi sehingga 10 malam setiap hari.

Perkhidmatan itu membabitkan kekerapan 45 minit bagi setiap perjalanan dan setiap laluan akan berhenti di 17 perhentian. Sepanjang bulan ini, ia ditawarkan secara percuma kepada orang ramai.

Ia adalah perkhidmatan bas keempat ditawarkan Rapid Bus Sdn Bhd selepas Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan dengan harga tiket rapidKamunting di bawah RM2, dikenakan mulai 1 April nanti.

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Prasarana Malaysia Berhad, Rapid Bus Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Datuk Mohamad Zahir Khalid, berkata ia sebahagian daripada projek dalam pelan Greater Kamunting.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq, berkata pihaknya membelanjakan kira-kira RM13 juta bagi membangunkan infrastruktur serta penyediaan pelbagai kemudahan bagi menjayakan perkhidmatan itu.

Beliau berharap perkhidmatan itu memberi manfaat kepada penduduk tempatan dan pelancong kerana bas berkenaan turut menggunakan laluan jejak warisan, melalui kawasan dan bangunan bersejarah di Taiping yang terkenal sebagai bandar bersejarah negara.

Berita Harian X