Ahad, 21 Februari 2016 | 12:41pm

Penunggang motosikal maut, diseret kereta 60 meter

KEMALANGAN berlaku di Jalan Lencong Barat, Sungai Petani, awal pagi tadi.
KEMALANGAN berlaku di Jalan Lencong Barat, Sungai Petani, awal pagi tadi.

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangi dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta sebelum diseret sejauh 60 meter (m) di Jalan Lencong Barat, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.50 pagi itu, Mohd Faiz Sheikh Abdul Rahim, 32, menunggang motosikal dari arah Laguna Merbok, dekat sini, sebelum dirempuh kereta, menyebabkannya terjatuh di tepi jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan di kepala.

"Ketika pemandu kereta yang melanggar mangsa memberhentikan kenderaannya kira-kira 150m dari lokasi Mohd Faiz terjatuh, motosikal mangsa masih melekat pada hadapan kereta terbabit.

"Pemandu kereta terbabit iaitu seorang pelajar kolej berusia 21 tahun bersama seorang penumpang tidak mengalami kecederaan," katanya di sini, sebentar tadi.

Pada masa sama, Md Zukir berkata, siasatan awal mendapati, mangsa berasal dari Taman Delima, dekat sini, dan bekerja sendiri.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X