Selasa, 16 Februari 2016 | 4:58pm

Pekerja kilang maut motosikal rempuh lori

MUHAMMAD Razzid Basri maut dalam kemalangan di KM 160.3 Lebuh Raya Plus Utara Selatan arah selatan, Nibong tebal. - Foto Ihsan Pembaca
MUHAMMAD Razzid Basri maut dalam kemalangan di KM 160.3 Lebuh Raya Plus Utara Selatan arah selatan, Nibong tebal. - Foto Ihsan Pembaca

NIBONG TEBAL: Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan dalam kejadian di Kilometer 160.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Muhammad Razzid Basri, 26, meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad, berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal sendirian, tidak sempat mengelak sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan berikutan tayar pancit.

"Mangsa ketika itu, menunggang motosikal dari tempat kerjanya di Juru untuk pulang ke rumahnya di Semanggol, Perak.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan selepas tayar hadapan kenderaan itu pancit," katanya.

Wan Hassan berkata, pemandu lori berusia 53 tahun itu mendakwa dia memberhentikan kenderaannya di lokasi itu satu jam sebelum kemalangan berlaku.

"Pemandu lori itu bertindak memberhentikan kenderaannya selepas mendapati tayar pancit," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) di sini untuk bedah siasat.

Berita Harian X